Salamun alaikum,
Kita panjatkan syukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya dapat diterbitkan sebuah penerbitan berupa Kamus Bengkulu: Basé Bengkulu ke Bahasa Malaysia yang disusun oleh Sari Nande.
Asal-usul Bahasa Bengkulu
Bengkulu atau Bangkahulu adalah sebuah provinsi yang terletak di barat daya Pulau Sumatera, Indonesia. Bersempadan dengan Sumatera Barat di utara, Jambi dan Sumatera Selatan di timur, dan Lampung di selatan
Masyarakat dan Bahasa Bengkulu
Selang masa berlalu masyarakat Bengkulu telah menjadi antara sebilang rakyat majmuk di Malaysia, namun mereka masih tidak lupa dengan asal usul, adat, budaya, dan tradisi yang mereka bawa bersama ke Tanah Melayu.
Nenek moyang kita yang datang ke Tanah Melayu dahulu kala, (kini sudah sampai ke jenerasi yang kelima) membawa bersama-sama bahasa daerah mereka yang dikatakan berjumlah sembilan bahasa daerah. Namun yang dominan ialah Bahasa Melayu Bengkulu (Bulang), Bahasa Lembak dan Bahasa Serawai. Apa yang dikatakan Bahasa Bengkulu di Malaysia sekarang ini adalah merupakan gabungan antara Bahasa Bulang dan BahasaLembak.
Masih ada sebilangan kecil masyarakat Bengkulu di Malaysia yang boleh bertutur dalam Bahasa Serawai, terutamanya yang tinggal di Kampung Bangkahulu di Gemas, Negeri Sembilan. Manakala selebihnya menggunakan Bahasa Bulang/Lembak, walaupun mereka atau keturunan mereka berasal dari daerah Kabupaten Bengkulu Selatan seperti di wilayah Kota Tais dan Manna.
Bahasa adalah suatu sarana perhubungan rohani yang amat penting dalam hidup bersama. Bahasa juga adalah lambang budaya dan sejarah bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa. Hilang bahasa maka sirnalah lambang dan jiwa. Alangkah ruginya masyarakat tanpa keaslian identiti. Oleh itu kita ada tanggungjawab untuk menyinarkan kembali lambang dan mengembalikan jiwa bangsa masyarakat Bengkulu di Malaysia khasnya. Matlamat ini hanya akan berhasil jika kita bersama-sama memikul tanggungjawab tersebut dengan memberi sokongan yang padu.
Terima kasih.
Lanang betiné tué mudé;
Belajola ngécék basé Bengkulu
Mon nak nyatu uang kité galé.
HIDUP BAHASA HIDUPLAH BANGSA.
No comments:
Post a Comment